Tuesday, September 1, 2009

MALAM LAILATUL QADAR

Memburu Malam Kemuliaan Lailatul Qadar
Ramadan adalah bulan impian bagi semua insan Muslim. Di bulan mulia ini terdapat pelbagai keistimewaan luar biasa yang tidak pernah kita temui di bulan-bulan lainnya. Sepuluh hari pertama bulan ini dipenuhi dengan `rahmat' (keberkatan), sepuluh hari pertengahan dihiasi dengan `maghfirah' (keampunan) dan di sepuluh hari terakhir diberkati dengan `itqun min an-nar' (kebebasan dari api neraka).

Bulan ini pula telah dimuliakan Allah s.w.t. dengan menurunkan al-Quran sebagai panduan hidup bagi manusia (Surah al-Baqarah, ayat 185), iaitu pada malam Nuzul al-Quran, 17 Ramadan pada tahun Kenabian Muhammad s.a.w. atau bertepatan dengan 6 Ogos 610 Masihi. Tatkala bulan ini menjelma, semua pintu syurga dibukakan, semua pintu neraka dikuncikan, dan diikatkan semua syaitan, (Hadis riwayat Muttafaqun `Alaih).

Bulan ini juga dikenali dengan `bulan bonus' bagi umat Islam di mana dalam bulan inilah Allah s.w.t. melimpahkan pahala berlipat ganda dan menghapuskan dosa-dosa masa silam bagi sesiapa sahaja yang melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan.

Puncak keistimewaan luar biasa bulan ini adalah apabila diturunkan satu malam, Lailatul Qadar (malam kemuliaan) sebagai Malam kemuliaan yang lebih baik daripada seribu bulan (Surah al-Qadr, ayat 3). Sesiapa sahaja yang berpuasa pasti amat berhasrat untuk menjumpainya. Bila Lailatulqadar itu muncul?
Lailatulqadar ini diyakini akan muncul pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, terutamanya di malam-malam yang ganjil. Perkara ini dapat kita semak dari sebuah kisah Siti Aisyah r.a: Bila telah masuk sepuluh terakhir dari bulan Ramadan, Rasulullah s.a.w. mengikat kuat kainnya (menambah kesungguhan ibadatnya), menghidupkan malam (dengan banyak berzikir dan bermunajat), membangunkan keluarganya (untuk ikut bertaqarrub kepada Allah) (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Kesungguhan Rasulullah melakukan ibadat pada malam sepuluh terakhir bulan Ramadan dapat kita semak dari hadis berikut, seperti diceritakan Siti Aisyah r.a.: Beliau (Rasulullah s.a.w.) beribadat hingga menjelang subuh (Hadis riwayat Muslim).

Apa sebenarnya terdapat pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan itu sehingga Rasulullah begitu tekun meningkatkan kuantiti (bilangan rakaat) dan kualiti (kekhusyukan dan tawaduk) ibadatnya di malam-malam tersebut?

Tekun dan khusyuknya Rasulullah beribadat pada malam sepuluh terakhir bulan Ramadan tidak terlepas daripada keinginan baginda untuk menemui malam Lailatulqadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Perkara ini amat jelas terakam dalam ayat berikut: Sesungguhnya Kami turunkan ia (al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatulqadar). Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Ketahuilah bahawa malam kemuliaan itu adalah lebih baik dari seribu bulan (83 tahun 4 bulan). (Surah al-Qadr, ayat 1-3).

Lailatulqadar adalah malam kemuliaan yang memiliki nilai lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa sahaja yang beribadat di malam itu adalah lebih baik nilainya dengan beribadat selama 83 tahun empat bulan. Usia purata manusia yang hidup di akhir zaman ini sangat jarang yang mencecah angka 70 tahun, apatah lagi 80 tahun dan seterusnya. Bahkan usia Nabi Muhammad adalah 63 tahun sahaja. Berapa lamakah usia kita?

Pernahkah kita terfikir untuk mampu beribadat kepada Allah selama 83 tahun? Mungkinkah ia berjaya dicapai? Rasanya sangat sukar untuk melakukan perkara itu, mengingat keadaan dalaman kita (iman yang turun naik) dan pengaruh luaran (kecenderungan berbuat maksiat dari pelbagai aspek kehidupan yang kita hadapi setiap masa). Pendek kata, Lailatulqadar adalah malam yang bernilai lebih baik daripada 1,000 bulan. Ia sentiasa datang di setiap sepuluh terakhir dari bulan Ramadan. Kesempatan emas ini janganlah kita biarkan berlalu begitu sahaja.

Tuesday, August 18, 2009

WASIAT RASULULLAH SAW

wasiat Rasulullah kepada Ali
RASULULLAH SAW ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang menarik dan boleh dijadikan bahan renungan bersama ialah wasiatnya kepada menantu baginda, Saidina Ali Abu Talib. Sungguhpun wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim dan muslimah, perlu menjadikannya sebagai iktibar lalu menjadikannya amalan. Larangan dan suruhan Rasulullah saw melalui wasiat itu, adalah juga untuk kaum Muslimin dan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara dalam wasiat itu adalah ciri-ciri utama orang beriman. Berikut adalah antara wasiat Nabi kepada Ali seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas: Ibnu Abbas meriwayatkan, bahawa Ali Abu Talib berkata: "Pada hari perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah saw bersabda kepadaku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untukku:" 1. Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal'un). 2. Wahai Ali, janganlah engkau ‘memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah'. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut. 3. Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar: "Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta" ( Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman: "Hai malaikat-Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni dia".